Mengukuhkan Usahawan Kecil Melalui Pengurusan Kewangan

Kenapa peniaga milikan tunggal perlu mengasingkan kewangan peribadi dan kewangan perniagaan.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter

Sebagai pemilik milikan tunggal, anda mungkin mempunyai banyak tanggungjawab, daripada mengurus operasi perniagaan sehinggalah kepada mengurus dan mengawasi pendapatan, perbelanjaan dan aliran keluar masuk.
Sememangnya setiap antara kita ada kewangan peribadi yang perlu diuruskan. Mana nak belanja untuk peribadi mana yang untuk perniagaan. Semuanya perlu diuruskan. Peningkan?

Kesilapan yang selalu dilakukan oleh usahawan milikan tinggal ialah mencampuradukkan perbelanjaan peribadi dan perniagaan. Ada usahawan menggunakan akaun bank peribadi untuk urusan perniagaan. Ini akan mengakibatkan kekeliruan pengurusan kewangan perniagaan dan menyukarkan penilaian prestasi perniagaan.

Bayangkan seperti anda mengangkat semua baju di ampaian dan dilonggokkan ke dalam bakul. Kemudian anda hendak cari mana satu baju anak, mana satu baju anda, mana satu baju suami atau isteri. Kemudian bayangkan baju yang sudah dipakai, dilonggokkan juga dalam satu bakul, kemudian kerana tiada bakul yang lain, baju yang sudah bersih juga dilonggokkan di bakul yang sama. Entah mana yang elok wangi entah mana yang bau “asyem”. Anda juga yang nak menilai semula antara yang bersih dan kotor. Sehari punya longgokan mungkin boleh lagi dikuis-kuis. Bayangkan sebulan, setahun?

Begitulah transaksi perniagaan anda. Jika anda serius sebagai usahawan, transaksi anda bukan untuk sehari dua. Anda perlu mengasingkan transaksi peribadi dan perniagaan, sebelum ia bertambah serabut.


Dengan mengasingkan rekod duit keluar masuk, penerimaan dan pembayaran antara peribadi dan perniagaan, anda akan mempunyai rekod transaksi yang jelas semata-mata untuk perniagaan. Ini akan memudahkan laporan kewangan disiapkan dan cukai perniagaan ditentukan. Tentunya anda tidak mahu duit yang diterima sebagai hadiah atau pinjaman sementara daripada kawan-kawan atau saudara-mara dianggap terus sebagai jualan. Atau duit perbelanjaan membeli makanan burung dianggap perbelanjaan perniagaan anda. Lainlah kalau perniagaan anda berkenaan menjual atau merawat burung, maka membeli makanan burung bolehlah dikira sebagai belanja operasi perniagaan anda.


Apabila anda mempunyai rekod yang jelas tentang perniagaan, prestasi perniagaan boleh dianalisis dan anda sendiri faham tentang kedudukan kewangan perniagaan anda dan tidak teragak-agak. Ini akan membolehkan anda membuat keputusan yang lebih baik berkenaan operasi dan kewangan perniagaan anda. Bila melihat baki akaun bank, anda terus tahu itulah baki untuk perniagaan anda, dan apa yang boleh atau perlu dilakukan.


Perniagaan yang mempunyai akaun bank sendiri, dilihat sebagai lebih serius untuk menjalankan perniagaan. Pihak ketiga seperti bank, pelabur atau bakal rakan kongsi sukar untuk menilai perniagaan dan mengurangkan keyakinan untuk berurusan dengan perniagaan anda.


Jadi, mana yang belum ada akaun bank perniagaan, silalah ke bank dan membuka satu akaun semasa untuk perniagaan anda. Banyak bank di Malaysia ni, pilih saja yang sesuai di kalbu.
😊

Kongsikan artikel ini

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter

Teruskan membaca